Wenger tuntut Sanchez buktikan kemampuan

LONDON: Arsene Wenger memberi amaran kepada Alexis Sanchez bahawa dia perlu berusaha keras untuk mendapatkan kembali tempat dalam kesebelasan utama Arsenal selepas cubaannya berpindah ke Manchester City gagal.

Sanchez hampir menyertai City pada jendela perpindahan bulan lalu selepas enggan menandatangani perjanjian kontrak baharu bagi meyakinkan Wenger untuk menjualnya.

Begitupun, perjanjian itu gagal apabila Arsenal gagal untuk mendapatkan pengganti bagi Sanchez, menyebabkan penyerang Chile itu dalam posisi yang janggal untuk kekal di Emirates sehingga sekurang-kurangnya pada Januari.

Sanchez yang kontraknya akan berakhir pada penghujung musim masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama Gunners bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini susulan kontroversi berkenaan.

Menanti kunjungan West Bromwich Albion di Emirates pada pagi esok, Wenger menegaskan pemain berusia 28 tahun itu hanya akan kembali disenaraikan ke barisan terkuat jika dia membuktikannya.

Ketika ditanya sama ada Sanchez masih berada dalam perancangannya pada musim ini, Wenger berkata: “Tidak lebih daripada pemain yang lain. Benar tiada sebarang hiraki.

“Saya menggunakan pasukan di Chelsea yang sepatutnya pantas ketika melakukan serangan balas dan bersaing dengan amat kuat.

“Saya mempunyai enam atau tujuh penyerang, namun jika saya menurunkan tiga penyerang dalam satu perlawanan, tiga lagi tidak akan bermain dan hanya beraksi di pertengahan minggu, tidak kira apa juga perlawanannya.

PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez (kanan) beraksi pada Piala Liga ketika bertemu Doncaster Rovers di Emirates, Rabu lalu. – Foto AFP

“Tetapi tiada apa yang dirancang. Tiada sikap berpura-pura dalam skuad saya. Dia (Sanchez) kembali dengan keadaan kurang cergas dan kemudian mengalami kecederaan.

“Jika mengambil kira kecederaan dan tempoh rehat lama, Rabu lalu (menentang Doncaster di Piala Liga) saya membiarkannya selama 90 minit di atas padang kerana saya mahu memberi peluang kepadanya.”

Ketinggalan agak jauh di belakang pendahulu liga Manchester City selepas beberapa persembahan longlai, kini tiada lagi ruang untuk skuad bimbingan pengendali dari Perancis itu untuk melakukan kesilapan jika mahu mencabar kejuaraan.

Antara pemain yang turut ditagih kembali ke prestasi terbaik ialah penyerang Perancis, Alexandre Lacazette. – AFP

Blog at WordPress.com.

Up ↑